LATAR BELAKANG

Cadangan  untuk menubuhkan Pusat Pemulihan untuk Orang Kurang Upaya (OKU) adalah di bawah Rancangan Malaysia Ketiga (RMT: 1976 – 1980). Ini bertujuan untuk memberikan perkhidmatan pemulihan kepada pekerja-pekerja yang mengalami kemalangan semasa bekerja di kilang-kilang serta bengkel perindustrian dan dilindungi oleh Skim Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) dan diletakkan di bawah pengawasan Kementerian Buruh dan Tenaga Rakyat (sekarang Kementerian Sumber Manusia).

Projek ini kemudiannya telah diserahkan di bawah kelolaan Kementerian Kebajikan Masyarakat (sekarang Kementerian Wanita, Keluarga dan Masyarakat) pada Januari 1982. Bagi memulakan perlaksanaannya dalam tahun yang sama 2 orang Pakar Perunding dari Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) telah dilantik untuk membuat kajian dan laporan mengenai projek ini. Pada bulan Jun 1982 satu Technical Memorandum mengenai penubuhan Pusat telah disiapkan dan dijadikan asas panduan bagi Kementerian Kebajikan Masyarakat dalam menentukan objektif, aktiviti, bidang kursus, syarat-syarat kemasukan dan jawatan-jawatan yang diperlukan.

 

Walaupun idea ini mula dicadangkan dalam Rancangan Malaysia Ketiga tetapi pembinaannya telah ditangguhkan oleh beberapa sebab yang tidak dapat dielakkan dan hanya dapat diteruskan di bawah Rancangan Malaysia Kelima (RML: 1986-1990).

PLPP dibina di atas lot 10847 Jalan Sungai Merab dalam Mukim Dengkil, Daerah Sepang, Selangor Darul Ehsan. Luas tapak ialah 9.878 hektar (24.409 ekar) Pembinaan PLPP melibatkan 3 Fasa. Pelaksanaan Fasa I bermula pada 28 Ogos 1990 dan bangunan Fasa I diserahkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat dengan beberapa bahagian ‘belum sempurna’ pada 19 Februari 1994. Kemudian Fasa I dan Fasa II telah siap sepenuhnya pada 19 Mei 1996. Walaubagaimanapun Projek Stadium Mini dan kolam renang di bawah Fasa III telah dibatalkan. Kerja-kerja Fasa I yang terbengkalai termasuk sanitary fitting  dan  electrical telah ditawarkan dan kontraktor berkenaan diberi tempoh sehingga Julai 1995 untuk menyempurnakannya. PLPP Bangi mula beroperasi pada Tahun 1999 dan pengambilan pelajar seramai 42 orang.        

Hak Cipta terpelihara plppbangi@2015 Sejarah Penubuhan.
Joomla Templates by Wordpress themes free